Penulisan Laporan Tahunan Berwibawa
Kursus Laporan Tahunan khas untuk membangun penulisan berwibawa untuk rujukan pemegang taruh dan pelanggan. Setiap tahun, beribu-ribu laporan tahunan dihasilkan oleh pelbagai kategori organisasi sama ada organisasi berteraskan keuntungan ataupun sebaliknya. Ada sebahagian yang menerbitkan laporan tahunan khusus bagi menjelaskan prestasi dan perkembangan organisasi kepada kumpulan pemegang saham. Ada sebahagiannya pula menerbitkan laporan tahunan sebagai instrumen penyaluran maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan oleh organisasi. Ada sebahagiannya pula menerbitkan laporan tahunan sekadar untuk memenuhi rutin tahunan organisasi semata mata.
Namun, apakah peranan laporan tahunan yang sebenarnya? Adakah ia sekadar hanya instrumen untuk menjelaskan perkembangan dan prestasi kewangan organisasi semata-mata? Adakah laporan tahunan itu dipandang sebagai satu bahan pembacaan yang berkualiti oleh kalangan pembaca signifikan ataupun pembaca umum?
Realitinya, peranan sebenar laporan tahunan bukan sekadar itu. Walaupun ia adalah penerbitan rutin tahunan organisasi namun ia dapat dimanfaatkan lebih daripada sekadar instrumen penyaluran maklumat perkembangan kewangan dan aktiviti semata-mata.
Bengkel ini diwujudkan atas inisiatif untuk membantu organisasi yang berhasrat bagi menghasilkan laporan tahunan berwibawa. Ia bukan sahaja dapat digunakan sebagai instrumen penyaluran maklumat kepada umum namun ia juga dapat memberikan pulangan dalam bentuk kepercayaan kepada jenama organisasi terbabit.
Justifikasi
Bengkel Penulisan Laporan Tahunan Berwibawa ini adalah bengkel komprehensif mengenai laporan tahunan berdasarkan kajian dan pengalaman mengendalikan latihan dalam bidang penerbitan buku di pasaran buku Malaysia. Sememangnya tidak mustahil untuk menghasilkan laporan tahunan yang berkualiti tinggi dan berwibawa asalkan ia dipandu dengan teknik dan langkah yang betul. Laporan tahunan sewajarnya tidak dipandang remeh kerana ia adalah bentuk penerbitan tahunan yang dapat membantu meningkatkan kualiti penjenamaan organisasi seandainya ia dimanfaatkan sebaik mungkin.
HASIL PEMBELAJARAN
Program ini adalah khusus untuk para pegawai yang terlibat dengan penulisan laporan tahunan untuk organisasi. Objektif kursus adalah untuk:
Mendedahkan rahsia dan teknik penghasilan sebuah laporan tahunan yang mencerminkan imej positif organisasi, menjadi alat penjenamaan yang berkuasa dan bahan penceritaan yang sedap dibaca oleh kumpulan sasaran utama.
Melatih pihak yang berkenaan untuk melihat proses penghasilan laporan tahunan secara menyeluruh dan komprehensif menggunakan pendekatan yang praktikal mengikut kapasiti dan kemampuan organisasi.
Memberikan panduan langkah demi langkah daripada proses percambahan idea dan pengumpulan bahan berkaitan sehingga proses akhir sebelum laporan tahun dihantar kepada percetakan.